Latar Masa, Latar Tempat. Latar Masyarakat

Cerpen Gerhana Manusia : Latar Masa, Latar Tempat. Latar Masyarakat

LATAR

Latar Masa

  1. Dua jam – tempoh pesakit di wad Unit Rawatan Rapi ditinggalkan.
  1. Zaman moden – kewujudan hospital yang dilengkapi perlatan moden.
  1. Waktu siang – Nusia memaklumkan kepada Dr Murni bahawa bekalan darah di bank darah sudah kehabisan stok.

Latar Tempat

  1. Wad unit rawatan rapi – tempat Tuan Besar Musa ditempatkan.
  1. Makmal darah – Nusia mendapatkan lima pek darah untuk pesakit-pesakit yang tenat.
  1. Wad terbuka – tempat pesakit-pesakit biasa dirawat seperti Hafiz.

Latar Masyarakat

  1. Golongan masyarakat doktor dan jururawat – Profesor Dr Juaidi, Dr Murni dan Nusia bertugas merawat pesakit kritikal di Unit Rawatan Rapi sebuah hospital.
  1. Masyarakat yang dedikasi dan amanah dalam menjalankan tugas. Dr Murni dan Nusia merawat pesakit dengan sabar dan penuh dedikasi tanpa mengenal penat.
  1. Masyarakat yang mementingkan ganjaran dalam perkhidmatan . Profesor Dr Juaidi mengutamakan rawatan kepada Tuan Besar Musa kerana mengharapkan dana untuk kelab elit hodpital itu.
  1. Masyarakat yang bersikap pilih kasih. Profesor Dr Juaidi bersikap pilih kasih kerana tidak memberikan perhatian dan rawatan yang sama rata kepada para pesakit di Unit Rawatan Rapi.
  1. Masyarakat yang prihatin. Nusia amat prihatin akan nyawa pesakit-pesakit yang memerlukan darah.
  1. Masyarakat yang suka minum minuman keras. Tuan Besar Musa suka menikmati minuman keras sehingga memudaratkan dirinya.

Tema dan Persoalan

Cerpen Gerhana Manusia : Tema dan Persoalan

TEMA

Tema Gerhana Manusia menjurus kepada konflik terhadap etika kerja. Konflik antara memenuhi etika seorang jururawat dan tuntutan dari pihak atasan dalam membantu pesakit yang lebih berpengaruh. Profesor Dr. Juaidi menyuruh Nusia memberi bantuan darah kepada Tuan Besar Musa kerana Tuan Besar Musa banyak memberi sumbangan kewangan kepada hospital sedangkan pada masa yang sama masih ramai lagi pesakit lain yang sangat memerlukan darah tersebut.

PERSOALAN

  1. Persoalan tanggungjawab seorang doktor terhadap pesakit. – Dr Juaidi dan Dr Murni bertanggungjawab merawat pesakit di hospital.
  1. Persoalan perbezaan golongan berpangkat dengan masyarakat. – Tuan Besar Musa diberi layanan istimewa berbanding pesakit lain kerana dia seorang korporat ternama dan juga menjadi penyumbang kepada kelab elit hospital.
  1. Persoalan kepentingan menderma darah dalam masyarakat. – Tuan Besar Musa, Soleha, Al-Hafiz, bayi dan gadis yang malang itu amat memerlukan bekalan darah untuk merawat mereka.
  1. Persoalan peranan wad ICU kepada pesakit kritikal. – Soleha, Al-Hafiz, bayi dan gadis yang malang itu dimasukkan ke wad ICU kerana memerlukan rawatan yang rapi.
  1. Persoalan pengambilan alkohol memudaratkan kesihatan. – Tuan Besar Musa telah dijangkiti dengan virus pada paru-paru akibat pengambilan alkohol.

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

Syair Nasihat (Penghujung Thamarat al-Muhimmah) : Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)   Terdiri daripada lapan belas rangkap.

(b)   Berisi empat baris setiap rangkap.

(c)   Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.

(d)   Terdiri daripada lapan hingga empat belas suku kata sebaris.

(e)   Bentuknya terikat.

Nilai dan Pengajaran

Pantun Kasih Sayang : Nilai dan Pengajaran

Nilai

(a)   Kasih sayang.

(b)   Rasional.

(c)   Kesetiaan.

(d)   Keikhlasan.

.

Pengajaran

(a)    Kita haruslah sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain.

(b)   Kita mestilah bersikap rasional sebelum melakukan sesuatu perkara yang dianggap mustahil.

(c)   Kita haruslah ikhlas dalam melakukan setiap perkara dalam kehidupan.

(d)   Kita mestilah berusaha dengan gigih untuk mencapai cita-cita.

Tema dan Persoalan

Pantun Kasih Sayang : Tema dan Persoalan

Tema

Kasih sayang antara teruna dengan dara.

.

Persoalan

(a)   Perwatakan yang menarik akan menyebabkan diri disukai oleh ramai orang.

(b)    Perbezaan darjat menyebabkan impian seseorang itu terhalang.

(c)   Cita-cita untuk memiliki sesuatu yang besar menjadi mustahil kerana adanya kekurangan diri.

(d)   Sanggup berpura-pura untuk mencapai sesuatu tujuan.

(e)   Perpisahan yang berlaku tidak semestinya terpisah untuk selama-lamanya kerana pada suatu hari nanti pasti akan bertemu semula.

Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

Pantun Nasihat : Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)   Imej alam. Contohnya, buah peria; padi; kapas; panas; hujan; pulau; bertih; bunga; pisang.

(b)   Anafora. Contohnya, Buat baik berpada-pada

Buat jahat jangan sekali.

(c)   Simile. Contohnya, Bagai panas mengandung hujan.

(d)   Asonansi. Contohnya, Batang kapas bertimbal jalan (perulangan vokal a).

(e)   Aliterasi. Contohnya, Buat baik berpada-pada (perulangan konsonan b).

(f)    Rima akhirnya sama, iaitu abab.

Maksud

Pantun Nasihat : Maksud

Rangkap 1

Jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih-lebihan sehingga tidak kena pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali.

Rangkap 2

Sesuatu yang haram dan memabukkan jangan dicuba sama sekali.

Rangkap 3

Perasaan sedih dan risau jangan dibiarkan berpanjangan kerana kelak akan membinasakan diri sendiri.

Rangkap 4

Tutur kata haruslah sentiasa dijaga agar tidak menanggung sengsara.

Rangkap 5

Seorang isteri perlulah mengelakkan diri daripada memarahi suami yang sedang letih kerana dikhuatiri dia akan mencari perempuan lain.

Rangkap 6

Kita hendaklah beradat ketika hidup di dunia ini dan bahasa itu tidak dapat dijual beli.

Rangkap 7

Para perantau dinasihati agar pandai membawa diri di tempat orang.

 

Watak dan Perwatakan (Cerpen Tingkatan 4)

Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja : Watak dan Perwatakan (Cerpen Tingkatan 4)

Watak dan Perwatakan

Watak utama – Hakim.

Watak sampingan – Azam, Kaduk, dan sebagainya.

.

Hakim

Bapanya bernama Hassan dan datuknya bernama Kaduk.

Berpendidikan tinggi.

Gigih berusaha bagi mencapai cita-cita.

Bijak membuat tindakan secara rasional.

Bercita-cita tinggi, iaitu berazam menjadi usahawan yang berjaya dengan cara menyahut seruan kerajaan melalui projek penternakan ayam secara moden yang telah diusahakannya.

Berani dan berpendirian tegas untuk mendapatkan tanah pusaka datuknya yang dirampas oleh raja pada suatu ketika dahulu dengan memfailkan kesnya di mahkamah.

Berpandangan jauh dengan menceburi bidang penternakan ayam bagi memastikan pengeluaran makanan negara berterusan dan tidak bergantung pada makanan import semata-mata.

Tabah untuk meneruskan projek ternakan ayam meskipun dia berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran.

Reda menerima kesan buruk akibat kesilapan dirinya.

Pandai berdikari semasa mengusahakan penternakan ayam secara moden.

.

Azam

Sahabat baik Hakim.

Berpendidikan tinggi, iaitu lulusan sebuah universiti dalam jurusan undang-undang.

Bertugas sebagai peguam di syarikat guaman.

Bijak dan petah berhujah.

Prihatin terhadap sahabatnya.

Baik hati serta banyak memberikan kata-kata semangat, dorongan, dan nasihat kepada Hakim untuk berjaya sebagai seorang petani moden.

Bersimpati terhadap masalah hutang yang menghimpit Hakim.

Mempunyai sifat setia kawan yang tinggi.

Pak Kaduk

Pak Kaduk ialah datuk Hakim.

Dianggap bodoh dan bersikap lurus bendul.

Taat akan perintah raja.

Miskin dan hidup merempat.

Patuh akan nasihat dan pandangan orang lain.

Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat (Cerpen Tingkatan 4) 

Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja : Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat (Cerpen Tingkatan 4) 

Latar

Latar Tempat

Kampung.

Rumah Hakim.

Bangsal rehat.

Reban ternakan ayam.

Universiti.

Mahkamah.

Bank.

.

Latar Masa

Zaman dahulu.

Zaman moden.

Sepuluh bulan.

Setahun.

.

Latar Masyarakat

Masyarakat yang menjadi mangsa penindasan golongan yang berkuasa.

Masyarakat generasi kini yang berani mempertahankan hak mereka.

Masyarakat yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.

Masyarakat generasi muda yang berpendidikan tinggi.

Masyarakat yang ingin membersihkan nama dan maruah keluarga.

Masyarakat yang tamak terhadap golongan yang lemah.

Masyarakat yang dihimpit masalah kewangan.

Karangan Bahasa Melayu

Punca-punca Pencemaran Alam Sekitar

Dalam kerancakan manusia mengejar kemajuan alaf milenium kini, nilai-nilai material semakin membekas dalam masyarakat madani sehingga menyongsong kewarasan akal dan kemurnian nilai-nilai integriti. Kemajuan yang berorientasikan keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis sehingga tandusnya pertimbangan manusia terhadap alam sekitar yang menjadi warisan yang tidak ternilai harganya kepada anak watan penggerak masa hadapan. Sedar tidak sedar, alam sekitar yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia yang bersultan di mata beraja di hati. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Bilangan tersebut tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan kenderaan. Di Malaysia, kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Atas faktor apakah yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran ini? Siapakah dalang yang terlibat dalam kemelut yang semakin pincang ini? Kupasan teliti akan dihuraikan bagi menjawab segala persoalan ini.

Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti berpunca daripada tangan-tangan kotor individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Hal ini terjadi kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka dan mereka sering memandang enteng tentang isu alam sekitar yang kini menjadi hidangan wajib dalam berita-berita yang dipaparkan dalam media massa arus perdana. Bagi sesetengah individu, mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran. Walhal, jika direnungkan andai ada seratus orang individu yang bersikap sedemikian sudah semestinya alam sekitar akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Sikap nafsi individu-individu ini semakin memburukkan fenomena alam sekitar. Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah ke dalam sungai dan longkang telah menyebabkan berlakunya pencemaran air sedangkan air merupakan medium utama dalam melestarikan kelangsungan hidup. Ada juga antara individu yang membuang puntung-puntung rokok dan melakukan pembakaran secara terbuka sehingga menyebabkan kebakaran yang serius lantas menyebabkan pencemaran udara. Kempen berkongsi kereta yang diwara-warakan pronya dalam aspek kesesakan jalan raya dan kontranya dalam aspek pencemaran udara juga tidak mendapat sambutan hangat daripada pengguna jalan raya, ibarat mencurah air ke daun keladi. Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas, dan motosikal secara berlebihan akibat kedegilan sikap individu yang menjadi pengguna jalan raya telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini.

Selain individu, organisasi seperti pemilik kilang juga turut menjadi agen penyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar. Terdapat kilang-kilang yang menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam pengeluaran mereka dan pada kebiasaannya kilang-kilang tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut dan sungai yang berdekatan dengan kawasan tersebut. Kebiasaan yang melanggar lumrah alam ini sudah pasti akan mengakibatkan pencemaran air. Ekosistem hidupan akuatik pasti terjejas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak ini. Dalam pada itu, terdapat juga kilang-kilang yang melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara seterusnya menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Walaupun sudah acap kali didenda, namun masih ada pemilik kilang yang dihentak tak masuk, diumpil tak bergerak. Ada juga segelintir pemilik premis-premis kilang tersebut yang mengelakkan diri daripada memberi penjelasan dan menyelesaikan masalah yang dicipta oleh mereka tidak ubah seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sama sekali tidak dapat menyelesaikan kemelut yang semakin meruncing ini. Kemelut ini jika dibiarkan sudah pasti akan memberi dampak yang malang kepada kondisi udara dan air lantas menyebarkan pelbagai wabak penyakit yang akan menyerang kesihatan marhaen. Bagaimana mungkin kemelut ini terus meruncing tanpa adanya prakarsa yang pragmatik dan efisien daripada pihak-pihak yang terbabit  atau penantian ini hanya sekadar menantikan putih gagak hitam? Tepuk dada tanya selera.

Pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta tanpa memikirkan secara terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama yang melibatkan alam sekitar juga merupakan faktor berlakunya pencemaran air, tanah, udara dan bunyi. Lebih teruk lagi, jika hal ini dibiarkan berleluasa akan menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir. Bermula dengan pembinasaan kawasan tadahan hujan akan menyebabkan hujan yang turun tidak dapat diserap ke dalam tanah akibat tiadanya akar pokok yang berfungsi menyerap lebihan air yang mengalir. Tindakan ini akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar sehingga menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Tanah yang dihanyutkan bersama-sama air hujan ini seterusnya menyebabkanpencemaran sungai dan mendapan lumpur yang di bawa menyebabkan air sungai menjadi semakin cetek. Penggunaan jentera yang terlalu banyak dalam proses pembangunan sesuatu kawasan juga akan menghasilkan pencemaran bunyi dan pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan asap yang berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan yang menolak natijah alam maka terciptalah kemusnahan alam akibat corak yang dilukiskan oleh manusia yang tiada pertimbangan dalam setiap keputusan yang diizharkan. Jika keduniaan dan keuntungan bernoktah di hati, sudah pasti kewarasan dalam pertimbangan ditolak ke tepi. Walau bagaimanapun, setiap sakit ada ubatnya. Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, setiap pihak perlu berhampar lapis, berlicin daun.

Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda, justeru kurangnya bukti yang boleh mengheret individu yang terbabit dalam pencemaran lantaran pemantauan yang tidak konsisten oleh pihak berkuasa juga dilihat sebagai faktor penyumbang kepada pencemaran yang kini berleluasa tanpa mampu dikekang. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar seperti tiada takut akan antah. Undang-undang yang diimplementasikan dilihat sekadar hiasan perlembagaan tanpa adanya penguatkuasaan. Pihak-pihak berkuasa khususnya pihak kerajaan seharusnya membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari setiap projek pembangunan yang menjadi ukur tara kemajuan negara tersebut dan bukan hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja. Perkara ini sangat penting untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah laku sesetengah organisasi dan individu yang semakin nafsi dan kurang kesedaran sivik. Pihak kerajaan juga seharusnya mengambil tindakan drastik dengan membuat serbuan ke tempat-tempat yang disyaki menjadi punca pencemaran dengan segera kerana jika kerajaan kurang memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek kemaslahatan rakyat, maka masalah pencemaran pasti berada di tahap yang semakin membimbangkan. Perlukah sudah patah baru hendak melantai?

Natijahnya, jika setiap pihak mengambil langkah sederap ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini dapat diatasi. Kupasan demi kupasan berkaitan punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil serius oleh semua pihak dan organisasi agar belenggu yang merantai permasalahan pencemaran clam sekitar seperti pencemaran air, udara, tanah dan bunyi ini dapat dirungkai dan diselesaikan hingga ke akar cerucuknya. Hal ini penting untuk memastikan kelestarian dan kehijauan flora dan fauna yang bebas daripada pencemaran dapat dikekalkan dan diwariskan sebagai tatapan generasi masa hadapan yang akan mendepani realiti dunia yang pantas berubah dan berkembang.